Uncategorized

Manifestasi cinta

Pernah rasa hilang harapan untuk meneruskan hidup? Merasakan itulah saatnya kiamat.

Tenang! Jangan fikir yang bukan-bukan. Sesungguhnya rahmat Allah sangat luas. Kekalkan sangkaan baik kita kepada-Nya selama ini.

Ujian dan rintangan sebagai hamba adalah perkara lumrah yang semua orang akan hadapi kerana Syurga Allah itu mahal. Justeru, ujian yang akan melayakkan kita untuk masuk pun perlu setimpal.

Ada orang diuji dengan kemiskinan. Terdapat juga manusia diuji dengan kegagalan. Ada pula diuji dengan kematian orang yang disyangi. Setiap orang berlainan ujian selari dengan kemampuannya.

Tapi, kadang-kadang kita melihat kehidupan orang lain sangat senang dan bernasib baik berbanding kehidupan kita. Yakinlah, Allah lebih menyayangi kita. Kerana itu dia menguji kita untuk menaikkan darjat dan sebagai peringatan supaya kita lebih dekat dengan-Nya. Supaya kita bersujud dan berdoa bersungguh-sungguh memohon untuk Allah memudahkan segala urusan kita.

Jangan sangka kesenangan seseorang itu merupakan satu rahmat. Tapi, dengan kesenangan itu juga mampu menjadikan dia lebih jauh dan sombong dengan Allah. Merasakan dia tidak perlukan Allah untuk berjaya.

Saya diuji, awak diuji dan semua orang diuji. Tapi, bagaimana kita respon dengan ujian itu yg membezakan kita. Tenang, sabar dan terus berdoa kepada Allah tanpa jemu.

Jika terdetik dalam hati tentang ketidakadilan Allah kepada kita, terus memohon ampun. Sesungguhnya kasih sayang Allah berkali-kali ganda besar berbanding kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Untuk timbul rasa tenang dan redha dengan ujian Allah adalah dengan bersyukur dengan apa yang kita ada. Ada orang tak mampu nak berjalan, tapi kita boleh. Ada orang tidurnya di bawah jambatan, tapi kita tidur dibawah bumbung. Ada orang tiada duit untuk makan, tapi kita mampu untuk belanja orang makan.

Perkara yang tidak sepatutnya berlaku adalah meminta sesuatu yang mustahil. Sebagai contoh kita minta untuk hidung yang mancung, sedangkan kita keturunan melayu memang dilahirkan hidungnya pesek. Ada orang Allah lahirkan tiada hidung, hanya lubang hidung sahaja.

Adakah kita masih mahu mengatakan yang Allah itu tidak adil  setelah pelbagai nikmat diberi dan ujian dilepaskan sepanjang hidup kita.

Banyakkan muhasabah diri dan bersyukur dengan apa yang kita miliki. Jangan gusar  dengan benda yang kita tak miliki.

Pandanglah kehidupan ini dengan lebih meluas. Kerana itu Allah menciptakan Syurga sebagai hadiah untuk hamba yang redha.

Tenang dan sabar. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat.

Tenang is good.

Karya: Abu Mus’ab, Harmoni Pena

Uncategorized

Molekul

Alhamdulillah dengan izin Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia telah memanjangkan usia kita sehingga ke saat ini. Walau berapa pun usia kita pada hari ini, jangan pernah lupa untuk mengucapkan alhamdulillah kerana masih diberi peluang untuk bernafas dalam udaraNya.

Pada hari ini, aku ingin bercerita tentang bagaimana seorang pensyarah yang mengajar aku di UPM, membuka mata aku tentang salah satu perkara penting dalam hidup – tarbiyyah. Aku coretkan disini kerana aku rasa ia satu perkara yang menarik untuk aku kongsi. Pensyarah aku ini, bukanlah seorang muslim ataupun beragama Islam. Tapi itu tidak menghalang aku untuk mendapat perspektif yang berbeza tentang kehidupan melalui ilmu yang aku peroleh daripada beliau.

Nak dijadikan cerita, sewaktu mengikuti kelas beliau tempoh hari..Dr Tom (bukan nama sebenar) ada sentuh berkenaan molekul.

Setakat yang aku ingat, Dr Tom berkongsi tentang kewujudan molekul-molekul yang ada di dunia. Dalam dunia ini, setiap perkara dan benda yang wujud adalah terdiri daripada molekul. Tuhan dah ciptakan molekul-molekul ini, dengan sifat yang berbeza beza. Jadi kita selaku manusia, kita tiada keupayaan untuk mengubah sifat molekul tersebut. Kita tak ada kuasa nak ubah bagaimana molekul itu ‘behave’ atau bertindak, begitu juga dengan ‘properties’ atau ciri-ciri molekul tersebut. Sebab Tuhan dah jadikan ianya ‘fixed’ ataupun tetap.

Tetapi, apa yang kita boleh ubah adalah ‘operating condition’ bagi molekul itu. Kita semestinya boleh ubah dan tetapkan kondisi persekitaran molekul tersebut seperti suhu dan tekanan keadaan sekeliling molekul, supaya selepas ia melalui kondisi yang kita tetapkan itu, ia berubah kepada sesuatu molekul yang sesuai dengan kehendak kita, dan ia ‘behave’ seperti apa yang kita nak.

Jika kondisi operasi persekitaran yang kita tetapkan bagi sesuatu molekul itu tidak betul, atau tidak sesuai dengan molekul tersebut, maka kita tidak akan dapat menghasilkan ‘final result’ seperti apa yang kita inginkan. Malah, molekul yang tidak berguna pula yang kita akan dapat, sebab kita tak dapat nak capai fungsi molekul tersebut dek tersalah ‘setting’.

Tutup cerita pasal molekul dari Dr Tom.

Tanpa disangka, aku terkesan dengan apa yang Dr Tom jelaskan pada hari itu. Aku mengambil kisah molekul ini sebagai satu analogi yang baik untuk disamakan dengan manusia dan tarbiyyah.

Sama seperti molekul, manusia juga dilahirkan berbeza-beza setiap satunya. Walaupun semua manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah, namun ‘act of behavior’ dan kecendurangannya tidak sama. Pasti tidak akan sama. Ada orang, lebih minat bercakap berbanding menulis. Sesetengah orang yang lain, lebih suka sertai misi kemanusiaan berbanding duduk dengar ceramah di masjid. Dan banyak lagi contoh lain yang membezakan manusia-manusia yang ada.

Pointnya adalah, setiap jiwa manusia itu tidak sama, dan perlukan ‘operating condition’ yang berbeza-beza, sama gayanya seperti molekul tadi. Operating condition ini aku ibaratkan seperti tarbiyyah, yang merupakan satu siri pendidikan jiwa bagi setiap manusia.

Tak semua orang boleh terima cara pentarbiyahan yang sama. Lain orang, lain ‘operating condition’ yang perlu digunakan untuk mendapat hasil yang baik.

Justeru, penting bagaimana tarbiyah itu harus ‘flexible’ dalam memenangi hati manusia yang berbeza-beza. Salah cara yang digunakan, maka tidak dapat lah hasilnya serta ‘hilang’ lah mad’u(baca: orang yang kita nak tarbiyah) yang kita nak target tu.

Sesuatu yang pasti, menurut pandangan aku – semua manusia sepatutnya perlu melalui proses-proses tarbiyah untuk membina dirinya.

Tetapi, adalah lebih adil jika manusia ini disalurkan melalui ‘operating condition’ yang sesuai dengannya, yang boleh mengisi rohaninya, yang dapat menggilap logamnya.

Betapa beruntung nya aku dan kau, kita yang lahir dalam keluarga Islam dan mengamalkan Islam itu sendiri.

Seperti aku sendiri, aku berasa sangat beruntung kerana ‘operating condition'(baca:tarbiyah) yang aku lalui sehingga ke hari ini, alhamdulillah sesuai dengan jiwa aku. Satu yang aku percaya, jalan tarbiyah yang aku lalui bukanlah sesuatu yang semua orang boleh dapat. Sehingga ke saat ini, aku sangat bersyukur dengan ‘operating condition’ yang Allah tetapkan pada aku, kerana ini lah yang membentuk dan membina aku, menjadikan aku seperti diri aku yang sekarang. Satu nikmat Tuhan yang tidak akan pernah aku lupakan. Kerana jika tidak, entahlah dekat mana aku sekarang. Mungkin tak berpeluang pun nak tulis entri ni. Hehe.

Itu baru cerita pasal aku. Aku bernasib baik sebab jalan yang aku lalui kena dan sesuai dengan diri aku. Tapi bagaimana dengan manusia lain? Apa nasib mereka? Bagaimana dengan mereka yang hatinya lembut tetapi didakwah dengan tarbiyah sentap dan padu? Bagaimana pula jika dia bukan sejenis yang usrah tetapi dipaksa untuk mengikutinya?

Banyak lagi manusia yang perlu kita susurkan ke ‘operating condition’ yang sebetulnya, supaya mereka akhirnya melihat keindahan tarbiyah yang mampu mengubah hidup mereka.

Akhir sekali, aku ingin menyeru sahabat-sahabat seperjuangan untuk terus menyebarkan rahmah dan kasih sayang. Teruskan mengajak orang lain kepada kebaikan – kerana kita tahu, tarbiyah yang sudah kita lalui itu menyeronokkan serta mengisi kekosongan. Kebahagiaan itu seharusnya dikongsi, maka ayuh teruskan perjuangan yang berbaki. Kalau sekali kita rasa lemah, ingatlah ramai lagi anasir diluar sana yang dahagakan tarbiyah.

Semoga Allah merahmati usaha-usaha kita.

Karya Nur Syakirah Romli; Harmoni PenaIsopropylWater

Uncategorized

Kita tidak sendiri

pantai-base-g-papua
Hidup hal tak terduga
Yang kan muncul tiba-tiba
Meski kita tak sedia
Apakah bahagia atau sebaliknya
Pejamkanlah mata dan peluklah cerita hiba
Meskipun harapan dipatahkan tangan-tangan
Kita kan balut jiwa, dengan kepercayaan

Lagu Pejam nyanyian The Prism berlagu perlahan. Munirah termenung panjang menghadap tugasan Mikrobiolgi yang perlu dihantar Ahad ini.

“Banyak lagi report E-coli ni nak kena siapkan ni”. Keluhnya perlahan.

Satu senarai panjang to-do list di desktop masih belum bertanda siap. Dia mengurut kepala yang terasa berat. Tuhan, sebenarnya yang terasa berat itu hatinya.

Lagu yang dibiarkan terpasang mengingatkan dia akan pengisian usrah oleh kak Laili Khamis lepas. Usrah itu dimulakan dengan tadabbur surah As-Saffat ayat 83-126 yang menceritakan kisah Nabi Ibrahim. Ayat itu benar-benar tepat mengena dirinya. Yang membicarakan soal kepercayaan dan kebergantungan. Ya, sungguh Tuhan mahu dia belajar erti percaya.

Ayat itu menceritakan peristiwa Nabi Ibrahim yang memecahkan berhala dan peristiwa perintah Allah yang menyuruh agar disembelihnya Ismail, anak yang didoakan buat sekian lama. Berat. Sungguh berat, ayat ini bermain dengan emosi. Bagaimana Nabi Ibrahim punya jiwa yang begitu besar merisikokan diri dicampak ke dalam api atas dasar keimanan? Pelik. Bagaimana Nabi Ibrahim meski dengan hati yang berat menurut perintah Allah untuk menyembelih Ismail tanpa diberitahu mengapa. Kerana Ibrahim percaya, dan meletakkan kebergantungan sepenuhnya pada Allah. Dia yakin akan perancangan Allah.

“Bagaimana pula aku?” dia bisik perlahan.

Tuhan ingin mengajarnya, dalam dia merasakan diri tidak layak, dalam dia merasakan sesak dan berperang dengan diri sendiri yang tidak mahu bergerak. Percayalah, Allah tidak salah dalam meletakkan kita di mana-mana situasi.

Percayalah, Fate is no coincidence. Dengan hati yang sejahtera dan penuh kebergantungan kepada Allah, kita kan gembira dan lebih tenang meskipun kita tidak tahu hikmah apa akan diperolehi di hujungnya.

Teringat juga dia akan pesan murobbiahnya suatu masa dahulu,

“Cikgu selalu doa macam ni, semoga dengan segala kepayahan dan pengorbanan yang kita buat, Allah ganti atau bagi kita nikmat yang kita tak sangka. Takpun mudahkan urusan kita yang lain. Have faith in Him ok?”.

Dia buka aplikasi whatsapp, dia hantar satu pesanan ringkas buat murobbiahnya.

“Kak, I’ll try once again eh akak. I won’t stop InsyaAllah. For trusting me all these while, thank you”.

 

Nukilan: Humaira Mardhiah,  Harmoni Pena.

 

 

Uncategorized

Pin biru untuk semua

IMG_20180224_082142Semua termengah menarik nafas setelah habis tiga pusingan larian. Semput. Itu perkataan paling tepat untuk semua yang berada di situ termasuklah Diana yang telah lama tidak mencairkan molekul-molekul lemak degilnya. Eh tidak lah lama mana, baru sahaja minggu lepas dia dan kawannya pergi mendaki di salah satu bukit yang terkenal sekitar Selangor.

Namun, sebagai seorang yang faham bahawa keperluan manusia untuk melakukan aktiviti fizikal sekurangnya tiga kali seminggu untuk kekal cergas, Diana masih merasakan kekurangan usaha untuk mengekalkan nikmat kesihatan yang Allah bagi. Apa tidaknya, dia sekarang masih belum pulih sepenuhnya setelah dua minggu demam.

Tiba-tiba Diana disapa oleh seseorang. Sangkanya orang asing, tapi rupanya Kak Nurul yang agak kelewatan tiba di tempat jogging.

“Eh akak ada nak bagi something dekat adik bertiga tu,” katanya dalam mengah mengawal nafas.

Tangannya terkapai-kapai menunjuk kepada satu beg kertas kecil yang berisi smartphonenya dan juga pin hasil kerja tangannya sendiri. Dikeluarkan pin kecil daripada beg kertas itu.

“Wahhh, biruuu”

Diana teruja. Walaupun itu bukan hadiah untuk dia, tapi matanya tetap bersinar pada pin berwarna tenang itu.

“Nah, pergi bagi mereka,” arah Kak Nurul merujuk kepada tiga adik yang agak jauh di hadapan.

“Ala Kak Nurul ni lambat la. Diorang dah nak sampai kereta dah”

“Laa, kejarlah?”

Fine. Detik Diana dalam hati. Bukan marah, cuma terjerat. Oh nak kena berlari la ni kejar?

Ruang tidak disiakan, Diana berlari sepenuh hati ke arah mereka bertiga. Fuh nasib baik mereka masih di situ.

“Nah korang,” unjuk Diana kepada adik bertiga.

“Wahhh cantiknyaa,” semua teruja.

“Buat sendiri ke?” Ihan bertanya. Senyumnya mekar membelek-belek pin tersebut.

“A ah Kak Nurul buat. Dia saja nak bagi korang”

“Akak mana?” tanya Dhia meminta kepastian.

Alamak nak terang macam mana ya? Kak Nurul ni takde la glamor mana. Diana mati akal.

“Haaaa! Akak tu pernah ajar korang masak makanan jepun tu? Ingat tak?” Yes, got clue to describe. 

“Ohh haaa. Ingat-ingat”

Mereka mengangguk mengiakan. Aha comel, macam upin ipin pun ada.

“Okay cakap kat Kak Nurul tu terima kasihhh”

“Okay nanti akak sampaikan, inshaAllah.”

Diana pun berlalu ke tempat berkumpul tadi. Hatinya merasa senang kerana telah menunaikan satu amanah kepada orang lain.

Namun ada satu lagi perasaan terbit dalam hatinya. Rasa syukur, rasa bertuah kerana Allah memberinya peluang merasai saat itu.

Saat orang gembira dengan pemberian. Saat orang teruja bahawa mereka dalam ingatan.

تهادوا تحابوا.

Berilah hadiah, nescaya kau akan berkasih sayang.

Sepotong hadis ini terasa amat memberi kesan pada pagi ini.

Betapa kasih sayang Allah itu halus. Dengan hanya memberi, kita boleh merasakan kasih sayang antara manusia itu wujud.

Betapa kasih sayang Allah itu unik. Dengan hanya mengingati, hubungan itu lebih erat. Semoga erat dalam berkahnya. Diana menarik nafas beristighfar.

“Akak, untuk saya?”

Diana buat muka sedih. Sedikit protes kerana pada awalnya dialah yang request pin warna biru itu.

“Haaa, last one. Nasib baik ada untuk awak” Kak Nurul mengeluarkan satu lagi pin dari beg kertasnya.

“Wahh alhamdulillah. Mekasih akak”

…………..

Memberi lah, nescaya kau akan bahagia 🤗

Uncategorized

Selamat tinggal Comfort zone- ku

Seperti namanya comfort, pastilah kita berasa aman, tenang, dan tenteram berada dalam keadaan itu. Rasa bahagia je. Namun, berada dalam keadaan begitu tidak selamanya baik untuk kita. Sebab apa? Kerana jika kita begitu tenang, kita mungkin terlepas peluang-peluang atau cabaran-cabaran yang lebih gempak kat zon luar “zon selesa” kita.

Ada satu quote barat berbunyi ,

Life begins at the end of your comfort zone.comfort-zone1

Fuhh dasyat. Kehidupan bermula di hujung zon selesa anda. So selama ni kita tak hidup la? *muka cemas*

Ada lagi,

A comfort zone is a beautiful place, but nothing grows there.

So apa macam? Terasa tak?

Contoh ya. Sidek jenis yang payah sangat nak makan sayur. Setiap hari mak dia membebel kat dia sebab tak makan sayur. Dah la tak makan sayur, tak ambik pula apa-apa makanan tambahan (baca: supplement). So kadang-kadang dia rasa dia ni lemau, senang demam la. Bila dia jumpa Doktor, Doktor cadangkan dia untuk ambil lebih sayuran. So nak tak nak Sidek terpaksa paksa diri sendiri untuk makan sayur. Mula-mula dia tak boleh nak terima sayur tu, tapi lama kelamaan dia boleh makan semua jenis sayur. Apa dia buat? Setiap kali dia makan, dia akan ingat apa manfaat dia boleh dapat daripada sayur tersebut.

Simple kan?

Ada satu kisah pasal seorang introvert. Manusia jenis introvert ni faham-faham la, susah nak bercakap dengan orang lain. Susah nak tegur orang. Susah nak menyapa, walhal senyum dengan orang yang dia tak kenal. Pendek kata susah semua lah untuk memulakan satu perbualan. Bila nak cuba tegur orang dulu, gigihnya Allah je yang tahu. Apa orang kata? The struggle is real, gitu.

So nak dijadikan cerita, kakak I (introvert) cuba untuk keluar dari comfort zone dia. Suatu hari kakak I ni ke bank dan normal la kalau kat bank kita akan cari tempat untuk duduk bila turn kita lambat lagi kan? So kakak I ni risik-risik la tempat duduk. Dalam kepala kakak I ni, okay aku nak cari tempat duduk sebelah orang lain. Cari punya cari, ding! Wah ada satu tempat kosong.

Tanpa membuang masa, kakak I pun bergerak ke tempat yang bercahaya tadi. Sebelah kakak I ada seorang makcik awal 50-an macam tu. Jadi kakak I tanpa melepaskan peluang, cuba untuk tegur makcik sebelah. Mula-mula kakak I senyum, dan hulur tangan untuk bersalam. Wah sopan kan. Eh itu adab kot.

Bila salam dan senyum dah disambut baik, kakak I yang introvert tadi makin selasa. Banyak la topik-topik perbualan yang dibuka sehingga makcik tu bercerita tentang keluarga dia. Makcik yang ramah dan mesra tadi siap bertukar nombor telefon dengan kakak I ni dan ajak kakak I ke rumahnya! Mata kakak I bersinar-sinar kerana dia yakin bila orang sudah mula bercerita tentang keluarganya, dia dah selesa dengan kita. Jadi percubaan pertama berjaya. Yeah!

Bila makcik yang ramah dan mesra tadi dah beredar untuk urusannya, datang pula makcik kedua. Dalam perkiraan kakak I, makcik ni agak sombong. Kakak I senyum kat dia pun dia buat don’t know je. Punya la manis senyum kakak I, semut pun longlai kot. Tapi makcik tu tak layan.  Uhuk.

Tapi bagusnya kakak I ni, dia tak berputus asa kat situ je. Fikir punya fikir, dia teringat ada sorang kakak pernah pesan kat dia, kita kena create cara untuk mulakan perbualan. Ting! Satu idea bernas muncul dalam kepala otak kakak I ni. Bernas tak bernas kita tengok hasil dia ya?

Mungkin Allah nak tolong, tiba-tiba je kakak I terjumpa gula-gula dalam handbag dia. Apalagi, terus disua gula-gula tersebut pada makcik di sebelah. Ahaa so cute, ingat makcik tu budak-budak ke? *gelak jahat*. But surprisingly, makcik tu sambut gula-gula tersebut dengan senyum. Alhamdulillah, terdetik kalimah syukur dalam hati kakak I. Macam makcik tadi juga, kakak I sempat bertukar nombor telefon dan rupanya makcik tu adalah tukang jahit. Senang la kakak I lepas ni, kalau nak pi alter baju, hantar je kat makcik tu. Hihi

Jadi apa yang kita boleh belajar daripada kisah kakak I ni?

Bila kita kata kita nak berubah, kita kena bertindak. Kalau hanya kata-kata, ia sekadar harapan. Atau lagi teruk boleh jadi angan-angan. Lebih penting, sebenarnya kita boleh je keluar dari kepompong hidup kita ke arah yang lebih baik. Jangan kita jadikan takdir sebagai alasan untuk kita terus begini. Kita mampu mengubah kehidupan kita ke arah yg lebih baik. Macam mana nak berubah? Cubalah keluar dari comfort zone,  carilah turning point yang membolehkan kita keluar daripada zon tu. Sekali kita keluar, kita akan rasa mujahadahnya sebab dari situ lah bermulanya kehidupan.

Cuba tanya pada diri.

Bagaimana kehidupan kita harini?

Adakah kita lebih baik dari semalam?

Atau lebih teruk?

 

Masa tetap berubah

Adakah kita berubah?

Adakah ilmu kita bertambah?

Bagaimana pula dengan pencapaian kita pada hari ni?

 Akhir sekali tanya pada diri,

Apakah yang boleh kita buat untuk bantu orang lain berubah?

Cerita asal: Siti Saripa Rabiah Mat Lazim

 

 

 

 

Uncategorized

Driver osem

Pintu kereta ditutup perlahan, santun dan berhati-hati. Itu antara didikan ayah sejak kecil. Masih segar dan diamalkan hingga kini.

Senyum manis diukir dan tangan dihulur pada si kakak di tempat pemandu.

“Sihat ke akak?” Lembut dan mesra Iznin bertanya.

“Alhamdulillah, sihat. Awak?”

“Hee alhamdulillah macam akak tengok ni lah, makin sihat pula,” seloroh Iznin sambil mengembungkan pipinya.

“Eh sama je akak tengok. Kita macam dah lewat ni, kita gerak sekarang boleh?”

“Haa boleh akak jum, bismillah,”

Kereta bergerak laju ke destinasi. Hari ini mereka akan ke Hospital Serdang untuk menyantuni anak-anak kecil sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia anjuran Jawatankuasa Belia Pertubuhan IKRAM Malaysia kawasan Sepang dan Harmoni Serdang. Perjalanan dari Cheras selalunya mengambil masa antara 20 ke 30 minit bergantung kepada kesibukan lalu lintas. Namun disebabkan hari ini merupakan hari cuti umum, mereka boleh tiba ke sana dalam masa kurang 15 minit.

“Iznin tahu kenapa kalau kita drive kita selalu fokus dan pandang ke depan?”

Suara si kakak memecah kesunyian.

“Erm, sebab kita mengarah ke depan?”

Soalan dibalas soalan. Iznin tergelak dengan jawapannya sendiri.

“Kalau kita tengok depan, kita fokus, boleh elak kemalangan, tak langgar orang depan,” Sambungnya.

Si kakak tersenyum mendengar jawapan Iznin. Masak benar dengan sikapnya yang sedikit gelabah apabila ditanya dengan soalan yang tiba-tiba.

“Haaa betul lah tu. Semua jawapan Iznin betul. Takde yang salah. Sama lah macam kehidupan kita. Akak sebenarnya nak share something kat Iznin alang-alang kita pun lambat lagi nak sampai hospital ni kan,”

“Wah. Akak mesti nak relate pasal orang yang fokus memandu dengan kehidupan kan?” Teruja, begitulah selalunya dia.

“A ah. Sama lah kondisi pemanduan kita dengan kehidupan kita. Akak yakin setiap daripada  kita ni bila nak berubah ke arah yang lebih baik, pasti ada kisah silam which is jahiliyyah yang kita cuba lupakan atau tinggalkan. Dan tak mustahil pun kalau kita sekarang ni masih lagi struggle dengan jahiliyyah yang tersisa,”

Iznin mengangguk faham.

“Begitu juga memandu. Kita ada target destinasi kita. Masa kita drive, mesti kita akan tengok depan supaya kita fokus dan tak hilang konsentrasi. Tapi sesekali kita kena pandang rear mirror kan, untuk pastikan kita selamat dan tiada halangan,”

“ohhh..”

Iznin hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham dan setuju. Itu adalah reaksi biasa dia apabila bercakap dengan orang lain. Lebih banyak mendengar daripada bercakap.

Rear mirror ni lah jahiliyyah kita. Dalam usaha kita nak jadi muslim yang lebih baik, kita perlu jelas dengan tujuan kita dan yakin dengan destinasi kita yakni syurga dan redha Allah SWT. Sesekali boleh kita throwback saat jahiliyyah kita supaya kita sentiasa syukur atas nikmat terpilih untuk jadi manusia yang lebih baik. Ingat balik apa turning point kita, bagaimana Allah memberi hidayah kepada kita dengan sepenuh kasih dan sayang. Boleh jadi parents kita, kawan, cikgu or even strangers yang menyebabkan kita berubah, tapi semua tu datang daripada Allah,”

Jeda sejenak. Si kakak memberi lampu isyarat ke kiri untuk masuk ke kawasan hospital.

“Jadi sambil kita tengok rear mirror kita, kita istighfar dan syukur. Istighfar atas jahiliyyah-jahiliyyah kita yang dahulu dan syukur atas nikmat hidayah yang Allah hadiahkan untuk kita,”

Iznin terus mengangguk. Termuhasabah dengan perkongsian si kakak.

“Iznin okay?” tanya si kakak apabila Iznin hanya diam sedari tadi.

“Eh saya okay akak. Cuma terfikir. Terima kasih akak, remind saya pasal benda-benda macam ni. Kadang-kadang saya rasa kita selalu neglect nikmat iman yang Allah bagi pada kita huhu,”

“Eh akak pun ingatkan diri akak juga. Sama-sama eh remind each other. Ha jum kita dah sampai ni. Tu akak nampak volunteer mereka kat sana dah. Jum ke sana,”

…………

Begitulah, sesekali kita perlu juga ‘lihat ke belakang’ untuk belajar dan syukuri apa yang kita ada sekarang. Ayuh jadi hamba yang bersyukur, dan sentiasa istighfar atas dosa-dosa kita. Semoga Allah tetap memilih kita untuk menjadi yang lebih baik.

Cerita asal: Suriati Salwa Idris ibrah oemanduan

Uncategorized

Ramadhan kita, bagaimana?

ramadhan-2

Bila tiba rejab,

Bersungguh kita doa,

Bariklana fi rejab

Bariklana fi syaaban,

Ballighna Ramadhan ya Allah!

Ballighna Ramadhan.

Ballighna Ramadhan.

 

Tiga kali kita ulang doa,

Penuh sungguh,

Penuh harap,

Moga Allah sampaikan kita kepada Ramadhan.

 

Namun,

Bila ketaatan itu tiba,

Kita seakan lupa,

Rintih harap kita,

Doa siang malam kita.

Allah dah mempertemukan kita dengan Ramadhan,

Tapi kita tetap begitu.

Tidak bertambah amal, tidak berkurang pula dosa.

 

Allah.

Nabi kata celakalah mereka yang keluar daripada Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.

Kita tahu,

Kita tahu,

Ramadhan bulan keampunan,

Ramadhan bulan al-Quran,

Ramadhan bulan kita perbanyakkan amalan.

 

Allah syariatkan puasa supaya kita kurangkan makanan untuk fizikal kita,

Untuk beri kita peluang isi ruh kita dengan makanan-makanannya.

Sedekah, al-Quran, zakat, teraweh.

Bukan sengaja juga Allah perintahkan puasa itu sebulan lamanya.

Semua itu untuk ruh.

Manakan aada orang yang mampu kuat dengan sehari sahaja latihan?

Hakikatnya, Ramadhan ini latihan untuk kita tempuh 11 lagi bulan yang mana kita berlawan dengan syaitan dan nafsu kita.

 

Cukuplah dengan alasan kita,

Cukuplah dengan malas kita,

Cukuplah dengan sambil lewa kita.

 

Allah dah bagi nikmat Ramadhan ini,

Syukurilah.

Taatlah.

Mana tahu berkat kesungguhan kita,

Allah pilih untuk pimpin kita selamanya dalam kebaikan.

 

Cukuplah,

Cukuplah kita bermain-main dengan Ramadhan ini.

Tinggalkan perkataan yang sia-sia,

Makan yang berlebihan,

Tidur yang berpanjangan,

Movie, segala umpat keji,

Tinggalkanlah!

La’allakum tattaqun, moga-moga kita.

Uncategorized

#Care4Rohingya

Alhamdulillah, Allah beri peluang untuk beramal dengan pendekatan yang berbeza pada kali ini. Dikerahkan untuk turun padang mengutip sumbangan sempena Minggu Care4Rohingya, err bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Kutip derma? Ada ke manusia nak menyumbang?

Itu lah stereotaip yang biasa aku alami jika perlu mencari sumbangan. Perasaan segan agak menebal untuk bermadah bicara, dengan reaksi yang pelbagai daripada pelajar-pelajar di situ. Oh ya, kami memulakan kutipan di sekitar Fakulti Perhutanan. A ah fakulti yang depan main library tu. Faham sahaja bila hari sudah petang, semua pelajar penat usai kelas masing-masing.

Namun, bismillah. Aku approach juga. Aku bisik pada diri untuk buang segala prasangka buruk dan bersangka baik dengan manusia-manusia di situ. Ayat-ayat mula disusun, info mengenai pelarian Rohingya mula dirungkai. Diucap dan diterang satu persatu supaya mereka yang mendengar faham. Selain kutipan, aku juga harap semua orang cakna dan ambil tahu tentang masalah kemanusiaan itu. Bukan hanya mendengar dan diam, tidak menyebarkan.

Alhamdulillah, Allah lancarkan lisan. Adik-adik yang baru selesai kuiz yang tadi agak kelat mukanya, mula mempamerkan senyum mesra dan menghulurkan sumbangan.  MasyaAllah, nikmatnya perasaan itu hanya Allah yang tahu. Tiap senyum dan derma yang dihulur seakan menyuntik, menjadi inspirasi untuk meneruskan kutipan.

Lantas, langkah diayun dengan lebih bersemangat. Kali ini aku mencuba nasib menyantuni warga asing pula. Grammar tak payah cakap, agak terabur lah. Eh takpe, asal tercapai hadaf.

Er, hi Sir. Do you know Rohingya?

Er, no?”

Tergelak juga dengan ekpresi mukanya yang agak blur. Mungkin terkejut kerana tiba-tiba ditanya begitu. Ehem, aku cover balik dengan senyum penuh di muka.

It is an ethnic. So we are here to do some donation for them due to crisis they had there…”

Bla bla bla. Aku pun tak berapa ingat apa yang aku cakap.

Puas. Alhamdulillah. Tak sangka mampu bertanya. Tak sangka juga ada yang ingin menyumbang. Dan satu yang pasti, kita takkan tahu bagaimana sesuatu itu berlaku selagi kita tidak mencuba.

Kita tidak akan tahu bagaimana adabnya menyantuni manusia bila kita tidak pernah cuba menyantuni mereka. Kita tidak akan tahu bagaimana penat dan nikmatnya beramal kebaikan selagi mana kita sibuk dengan kerja-kerja kemaksiatan. Proses, perasaan, kesan semua perkara itu, kita tidak akan rasa selagi mana kita sendiri tidak melakukan.

Jadi, jangan pernah menolak kebaikan bila diberi peluang! Yang susah pada awal akan jadi nikmat pada akhirnya. Jika tidak di dunia, kita yakin ada balasan nikmat di akhirat sana.

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan dilihatkan (dalam catatan amalnya).” (Al-zalzalah: 7)

– Perkongsian Aktivis IKRAM Siswa UPM

IMG-20170328-WA0006

KREATIF

Kita tahu

Kau tahu ikhlas itu apa?
Bagai semut hitam.
Atas batu hitam.
Pada waktu malam.
Tak nampak kan?

Kau tahu sabar itu bagaimana?
Saat kau diuji dengan seberat ujian,
Lalu kau ucapkan,
Innalillahiwainnailaihirojiun.
Kau tenang, masih percaya itu aturannya Tuhan.

Kau tahu hikmahnya berbaik sangka?
Bila kepercayaan kau diragui,
Bila kebaikan kau disalah erti,
Kau masih mampu menabur budi.

Kau tahu jiwa yang beriman itu bagaimana?
Saat dibacakan ayat Allah,
Gementarlah hati-hati mereka,
Bertebaranlah mereka di bumi ini menyebarkan kebaikan,
Mengajak manusia kepada Tuhan.

Kau tahu pula adil itu laksana apa?
Meletakkan sesuatu pada tempatnya,
Melihat sesuatu hikmah dahulu di sebalik perkara,
Bukan terus menghukum bermain kata.

Dan kau tahu hakikat hamba itu bagaimana?
Bila kau memaknakan janji,
Bahawa Allah itu Rabb,
Dan tanpa ragu kau berusaha sesungguhnya memenuhi hakNya.

Kita tahu,tapi terkadang kita lupa,
Kerana kita manusia; pelupa.

tumblr_ofyhs4ddve1u5lqbno1_500

 

 

Dakwah & Tarbiyah, KREATIF

MENCARI SAHABAT YANG BOLEH MEMBAWA KITA KE SYURGA

MENCARI SAHABAT YANG BOLEH MEMBAWA KITA KE SYURGA

Di dalam bersahabat, pilihlah mereka yang boleh membantu kita bukan setakat dunia, tetapi hingga akhirat.

Carilah sahabat-sahabat yang sentiasa berbuat ibadat, solat berjemaah, berpuasa dan sentiasa berpesan ke arah keimanan serta berjuang untuk menegakkan agama.

Carilah teman yang mengajak ke majlis ilmu, mengajak berbuat kebaikan, bermuafakat untuk kerja kebajikan serta selalu berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Semaklah diri, apakah ada teman yang sebegini dalam kehidupan kita atau yang ada mungkin lebih teruk dari kita.

Ayuh bertindak sekarang, kurangkan masa dengan teman yang hanya condong pada garis dunia, carilah teman yang boleh membawa kita bersama ke syurga, kerana kita tidak boleh mengharap ibadat kita sahaja untuk menjengah syurga Allah.

Pelbagaikanlah usaha, semoga satu darinya akan tersangkut,
membawa kita ke pintu syurga…

Hassan Al-Basri pernah berkata :

“Perbanyakkanlah sahabat-sahabat mukminmu, kerana mereka memiliki syafaat pada hari kiamat.”

Pejamkan mata, berfikirlah…
Siapa agaknya antara sahabat-sahabat kita yang akan mencari dan mengajak kita bersama-sama ke syurga..

Jika tiada, maka kitalah orangnya yang harus memulakan 🙂

Semoga bermanfaat..

Akhlak | Khidmat | Ukhuwah

#ukhuwah #harmoni #ikramsiswa

Pejamkan mata, berfikirlah,.. Siapa agaknya antara sahabat-sahabat kita yang akan mencari dan mengajak kita bersama-sama ke syurga..-1.png

………………………………………………………………….

[IKLAN]
Jemput follow rangkaian media sosial IKRAM Siswa UPM

-FB: https://m.facebook.com/IKRAMSiswaUPM/
-Wordpress: https://harmoniupm.wordpress.com

Minta like & share post yang ada, spread the love and spread the dakwah 💖🌸
Boleh jadi ini saham kita di akhirat nanti 🙂

Kami juga turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu berkongsi penulisan, poster, video mahupun iklan-iklan yang mempunyai nilai-nilai dan pengajaran yang baik kepada kami (ikramsiswaupm@gmail.com)  untuk dipaparkan di media sosial kami.

Ingin usrah? Hubungi kami di:
https://harmoniupm.wordpress.com/jom-usrah/
………………………………………………………………….