Uncategorized

Bagaimana Cara Terbaik Menghadapi PKP & PKPB?

Poster ini dihasilkan oleh Mohamad Aiman bin Mohamed Ares, peserta Media Marvel NNSP

Secara sedar ataupun tidak sedar, tahun 2020 merupakan tahun yang bersejarah apabila kemelesatan ekonomi negara Malaysia jatuh merundum secara mendadak akibat pandemik Covid-19.

Kita dapat melihat kadar ketumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu berada pada sekitar 4.3 peratus, menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan yang negatif daripada 4.742 peratus pada tahun 2018. Disebabkan itu, ramai terkesan terutamanya golongan berpendapatan rendah.  

Kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan golongan berpendapatana rendah untuk mencari sesuap nasi. Bukan itu sahaja, isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga juga telah menaik secara drastik. Persoalannya timbul di benak fikiran, apakah cara terbaik untuk membantu masyarakat menelusuri kehidupan sepanjang musibah dunia ini?

Menangani tekanan dan stres

Tempoh berkurung sepanjang PKP mengambil masa yang agak lama sehingga berbulan-bulan. Adakalanya, terasa seperti “terpenjara” dek berjauhan sesama keluarga, rakan-rakan dan kenalan. Lagi memberatkan apabila ada yang terpaksa bersendirian di dalam rumah ataupun di dalam hostel. Secara tidak langsung, hal ini akan mencetuskan ketidakstabilan emosi, merasa tertekan malah boleh menyebabkan kebimbangan dan kemurungan. 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah menerima lebih 8,000 panggilan aduan kesihatan mental daripada penularan wabak Covid-19 sehingga bulan Mei baru-baru ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Maka, KKM telah melaksanakan perkhidmatan hotline kaunseling secara percuma yang dikendalikan oleh doktor dan staf KKM yang bertauliah. Medical Relief Society (Mercy Malaysia), pertubuhan bukan kerajaan juga turut menyediakan perkhidmatan hotline kaunseling ini untuk membantu seramai mana individu yang mengalami kebimbangan dan tekanan dalam menghadapi pandemik ini.

Mengukuhkan hubungan sosial

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri ke 8, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu “duduk di rumah” adalah suatu bentuk norma baharu. Masyarakat masih terpinga-pinga tentang situasi janggal ini sehingga enggan akur mengikut arahan pihak berkuasa pada awalnya. Ada diantara mereka menjalani kehidupan “bersendirian” tanpa keluarga atau rakan-rakan. Hubungan sosial perlu dikukuhkan dengan sentiasa berkomunikasi sesama ahli keluarga dan rakan-rakan. Secara tidak langsung dapat mengurangkan rasa kesunyian dan tekanan.

Walaupun berpisah dengan ahli keluarga, namun dunia digital kian canggih ini mampu mendekatkan jiwa-jiwa yang berjauhan misalnya membuat panggilan video di dalam aplikasi Whatsapp atau Google Meet. Perkara ini diharapkan mampu meningkatkan tahap kesihatan mental dan emosi masyarakat. 

Mengekalkan rutin harian

Membuat jadual rutin harian adalah salah satu alternatif yang mampu mengelakkan rasa kebosanan melampau. Memenuhi masa yang kosong dengan aktiviti-aktiviti berfaedah dapat mengurangkan rasa tekanan dan kebimbangan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah membaca buku-buku, memasak makanan yang lazat, bersenam, dan belajar skil-skil baharu. Senaman yang ringkas ini dapat membantu untuk meningkatkan hormon norepineferin yang mengurangkan respon otak terhadap tekanan. Perembesan hormon endorfin juga meningkatkan perasaan rasa gembira dan menyingkirkan simptom-simptom kemurungan.

Aplikasi perniagaan digital

Perusahan kecil dan sederhana (PSK) adalah antara golongan yang paling terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Kekurangan sumber pendapatan menjadi asbab mereka kebuluran. Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang mengatakan bahawa, sebelum ini hanya kira-kira 10 hingga 20 peratus PKS yang menggunakan teknologi digital sepenuhnya dalam perniagaan. Namun, jangkaan selepas PKP berakhir, angka 40 peratus akan meningkat.

Maka, kaedah perniagaan tradisional perlu diadaptasi kearah perniagaan digital dengan lebih pantas untuk menerima norma baharu. Hal ini disebabkan masyarakat kini lebih memilih kaedah pembelian dan penjualan secara atas talian. Pembelajaran perniagaan secara atas talian boleh didapati daripada seminar-seminar perniagaan. Misalnya daripada MDEC yang membantu usahawan dan syarikat perniagaan mendepani situasi COVID-19.

Karya: Farah Zafirah binti Mohamad Yunus, peserta Art of Writing NNSP

Uncategorized

Hikmah Di Sebalik PKP & PKPB

Poster ini dihasilkan oleh Amal Solehah binti Aidiahmad, peserta Media Marvel NNSP

Covid-19 yang menyerang seantero dunia sangat digeruni kerana kesannya hingga boleh menggugat nyawa manusia. Malaysia juga tidak terkecuali dalam radar jangkitan virus ini.

Pihak kerajaan telah bertindak awal dengan mengambil keputusan, melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran wabak ini.

Namun, dengan terlaksananya PKP ini pelbagai kesan dapat dirasakan antaranya ikatan kekeluargaan dapat dieratkan lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang sering sibuk dengan tugasan hariannya.

Tidak terkecuali, masyarakat Malaysia juga ramai yang mengambil kesempatan ini untuk belajar memasak dan mencuba variasi resepi baharu. Bukan itu sahaja, pelbagai hobi baru tercetus akibat banyak masa lapang yang ada.

Selain itu, ramai juga yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian terutama sekali syarikat-syarikat produk barang keperluan. Bekas graduan, pelajar universiti dan lepasan Sijil Penilaian Malaysia(SPM) juga tidak terkecuali mengambil peluang yang ada.

Hal ini mendapat sambutan yang hangat. Pada musim PKP ini, ramai berpusu-pusu untuk membeli barang secara atas talian. Salah satu sebabnya, barangan yang dipesan itu akan terus sampai ke pintu rumah dan ini menjimatkan masa pembeli.

Situasi ketika PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak jauh berbeza kerana rakyat masih tidak dibenarkan untuk keluar sewenang-wenangnya.

Beberapa kawasan yang berwarna merah terus dikawal ketat kerana ingin mengelakkan penambahan bilangan rakyat yang dijangkiti virus ini.

Namun begitu, rakyat kelihatan kurang tertekan berbanding ketika tempoh PKP. Kebanyakan rakyat dapat kembali bekerja dan ekonomi negara dapat dijana semula. Secara tidak langsung, keresahan yang dialami oleh rakyat mengenai masalah kewangan dapat dikurangkan.

Karya: Aisyah Humaira Binti Satria Arjuna, peserta Art of Writing NNSP

Uncategorized

Kesan-Kesan menghadapi PKP & PKPB

Poster ini dihasilkan oleh Madihah binti Md Faridz, peserta Media Marvel NNSP

Kemunculan wabak virus COVID-19 telah memberi satu impak besar kepada masyarakat dunia. Kegelisahan dan ketidak ketenteraman jiwa kian menyebulungi diri setiap individu. Isu yang seolah-olah tiada penghujung membebankan hati manusia, namun dengan doa dan sepenuh pengharapan kepada Yang Maha Esa tetap menjadi pendirian sebagai seorang muslim.

 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan di negara kita, berikutan kes yang terus meningkat. PKP pada fasa 1 yang bermula dari 18 Mac  sehingga 31 Mac 2020 bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19. Maka, salah satu kesannya adalah perubahan norma. Jelasnya, pergerakan seperti ke tempat kerja, sekolah, pusat membeli-belah, pulang ke kampung halaman semuanya dilarang sewaktu pkp berlangsung. Semua  rakyat perlu sentiasa berada di rumah dan hanya keluar atas keperluan sahaja.

 Kehidupan seharian di  rumah  amat berbeza bagi seorang pelajar, pekerja pejabat dan sebagainya.Banyak masa yang dapat diluangkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti bermanfaat. Bahkan ramai juga yang telah menemui hobi serta bakat baru bagi mengisi masa lapang dengan sebaiknya. Ada yang mula memasak, membuat kek, melukis, membaca dan pelbagai aktiviti lagi. Bakat yang selama ini terpendam dapat dilihat sepanjang musim pkp ini.

Selain itu, hubungan antara keluarga juga lebih akrab apabila sentiasa berada bersama di rumah. Jikalau selama ini seorang ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak berjauhan menuntut ilmu, dan ketika situasi ini berlaku menjadi sebaliknya. Mereka dapat menggunakan peluang emas ini untuk bersama-sama dengan ahli keluarga seperti solat berjemaah da mengaji bersama-sama. Suasana harmoni ini dapat menjamin keharmonian masyarakat seterusnya kestabilan negara.

Karya: Siti Khadijah Binti Agussaiful, peserta Art of Writing NNSP

Uncategorized

Pencegahan Covid-19: Tanggungjawab Siapa?

Poster ini dihasilkan oleh Yasmin binti Suhaimi, peserta Media Marvel NNSP

Baru-baru ini berita China menggemparkan lagi suasana dunia yang tersedia hangat dengan penemuan virus selesema babi yang lebih dahsyat ancamannya kepada manusia sejagat. Jangkitan virus ini kepada manusia berkemungkinan mencetuskan pandemik seperti yang dilalui sekarang melalui covid-19 jika tiada kesedaran dan langkah pencegahan dilakukan. Sudah pasti berita ini bakal menambahkan resah sesiapa pun juga. Menelusuri semula lipatan sejarah yang berlaku pada 1918-1919 dengan merebaknya virus influenza yang dikenali sebagai Spanish Flu, virus ini dianggarkan telah mengorbankan 50 juta penduduk dunia. Semestinya bukan satu angka yang kecil. Tempoh hampir tujuh bulan sehingga Julai 2020 dan masih berjalan untuk memerangi covid-19 ini nampaknya terus dibentangkan dengan liku-liku yang sukar. Adakah kita semua cakna dan bersedia dengan kemungkinan getir ini?

Sehingga 14 Julai 2020, angka penularan wabak covid-19 di seluruh dunia sudah mencecah 13.2 juta kes. Kecanggihan teknologi dan kemajuan dalam bidang sains belum menemukan dengan sebarang vaksin bagi mengekang penularan wabak ini. Dalam hal ini, sikap individu dalam masyarakat menentukan keberhasilan sesebuah negara dalam mengawal penularan dan seterusnya bebas dari wabak ini. Seperti yang dapat dilihat, beberapa negara dicatatkan berjaya mengawal penularan virus dari terus merebak seperti New Zealand, Vietnam, Finland, Iceland, Denmark dan banyak lagi. Sudah pasti kejayaan ini tidak hanya disumbangkan oleh pasukan perubatan dan petugas barisan hadapan semata-mata, malah sebenarnya melibatkan sokongan dan tindakan yang sinergi antara semua pihak termasuk pemimpin negara, pasukan perubatan, dan kita sebagai individu masyarakat. Negara-negara yang berjaya mengawal penularan wabak ini rata-rata mempunyai rakyat yang berdisiplin tinggi dan patuh pada arahan dan saranan pemimpin mereka. Sebagaimana yang berlaku khususnya di Amerika Syarikat, rakyatnya lebih mengutamakan hak kebebasan sehinggakan suara sesetengah pemimpin mereka tidak dirasakan relevan untuk diikuti. Malah lebih memburukkan keadaan, akhbar-akhbar di Eropah menyelar pemimpin utama negara tersebut akibat sikap sambil lewa dalam mengawal penularan wabak covid-19 sedari awal lagi.

Tuntasnya, langkah-langkah pencegahan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia bagi diamalkan oleh masyarakat dunia wajar dijadikan panduan sebagai badan bertindak yang bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan sejagat terpelihara. Sebagai kesimpulan, mari kita hayati maksud ayat ke-11 dari surah ar Rad yang membawa maksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka.”

Karya: Naziratulasikin binti Abu Kassim, peserta Art of Writing NNSP

Uncategorized

Pertemuan

“Alhamdulillah. Siap pon satu tugasan utk hari ini.” Luah hatiku.

“Klik klik”
Tetikus terus ditekan dan dihalakan pada butang shutdown pada layar laptop ku.

Dan secara tiba-tiba pandangan mataku terlintas pada satu folder di layar laptopku yg ku namakan sebagai…..

“Pertemuan”.

Hajat utk menutup laptop terus aku tangguhkan lalu aku menekan folder tersebut.

Aku scroll, dan scroll.

Dan aku terjumpa gambar kali pertama aku bertemu mereka di dalam sebuah program.

Program di mana aku sendiri tidak ingat namanya.

Tetapi ingatan ku tetap segar mengingati org-org di dalamnya.

Kerna mereka lah antara asbab aku tetap kekal utuh di jalan-Nya.

…………….

17 September 2018

“Awak nama siapa?”

“Saya Shahir Azlan, Bachelor Ekonomi, first year, kolej Canselor. Boleh panggil Shahir”

“Eh yeke? Ingatkan third year. Nampak mcm dah third year”
Jawab Hasna’ dan Mimi hampir serentak terhadapku.

Aku hanya mampu tersenyum dengan mataku yg kelihatan hampir tertutup kerana sepet hahah.

Ketika ini kami dibahagikan kpd beberapa kumpulan oleh saudara Fikri Ahmad utk membincangkan satu perkara, yg aku sendiri lupa apakah ia.

Apa yang pasti,

Aku dapat melihat dgn jelas,
bahawa mereka yg turut serta di dalam program ini,
Semuanya kelihatan seperti mempunyai satu matlamat yg jelas
Serta terdapat satu aura sesama mereka yg aku sendiri tidak tahu bagaimana utk menghuraikan ia.

Mereka kelihatan seperti tahu dan yakin akan mengapa mereka ingin berbuat itu dan ini.

Sedangkan aku tidak tahu.
Dan aku juga masih belum yakin.

Kedatangan ku pada harini juga adalah disebabkan oleh panggilan naqib usrah yg mengajakku untuk turut hadir.

Aku sekadar menjadi pemerhati.

Yang diam, apabila org diam.
Yang ketawa, apabila org ketawa.
Yang menjawab, apabila org bertanya.

Aku, saudara Fikri Ahmad, dan cik Pengerusi 19/20 yg pada waktu ini mungkin tidak menjangkakan pon bahawa dia akan menyandang jawatan tersebut.

Lama kelamaan,
Ingatan ku semakin kabur,
Dan aku kembali ke dunia realiti.

…………….

Ah!

Rasa kelakar pula bila mengingat semula diriku pada pertemuan kali pertama itu.
Serta ada tambahan sedikit rencah rasa hiba yg turut hadir bersama dlm memori itu.

Mungkin kerna aku tahu,
bahawa kebanyakan dari mereka akhirnya, akan meninggalkan aku?

Ketika hatiku baru saja dijentik dan tersedar,
Setelah sekian lama aku terlena?

Jujur, aku tidak ingat langsung berkenaan apa yg disampaikan pada hari tersebut.

Imbasan-imbasan memori ku tidak dapat mengingati apakah input yg aku dapat pada hari tersebut.

Mungkin itu kerana kekhilafan pada diriku ini,
yg cuba untuk menolak perkara-perkara ini,
Daripada terus hadir dalam hidupku pada waktu itu.

Namun, siapalah kita sebagai manusia,
Untuk menjangka takdir-Nya yg maha kuasa?
Untuk menjangka bahawa akhirnya aku juga akan turut serta bersama mereka?
Hahah

Itulah ajaibnya kuasa sebuah pertemuan.

Yang disertai dgn beberapa pertemuan yg lain,
Yang begitu indah dihiasi pelbagai hiasan berwarna warni,
Yang datangnya daripada mahkota tarbiah itu sendiri.

Detik detik pertemuan inilah yg meyakinkan aku,
bahawa aku perlu untuk bergerak bersama mereka.

Detik detik pertemuan inilah yg semakin lama meyakinkan aku,
untuk memilih dan meneruskan jalan ini.

Detik detik pertemuan ini jugalah yg amat meyakinkan aku,
Bahawa segala sesuatu bermulanya daripada sesuatu.

Dan dalam kisah aku ini,

Segalanya bermula daripada,
Sebuah coretan takdir yg begitu indah,

Yang ku namakan ia sebagai,
Pertemuan.

Aku dan mereka. (8 Mac 2020)

Nukilan: Shahir Azlan

Uncategorized

Cinta Teragung

Cinta itu ibarat matahari.
Menerangi seluruh hati sang penjiwa.
Namun, ada kala cinta itu akan kembali kelam.
Jauh tersimpan di dalam lubuk hati si duka lara.

Siang berganti malam.
Bulan terpancar di langit terbentang.
Hati ini masih tergantung suram.
Menanti khabar berita si pujangga pulang.

Namun ku sedar, bahawa..

Kejar cinta manusia itu pasti punah.
Menanti satu bisikan yang tiada arah.
Dek bertuhankan nafsu cinta yg hampir musnah.
Aku kini bebas menjelajah.

Sedarlah,

Mengejar cinta sejati itu satu fitrah.
Jangan alpa cinta hakiki itu pula adalah satu anugerah.
Bukalah pancaindera mata hatimu wahai sang jiwa.
Agar kamu bisa mengerti makna cinta sebenar dari-Nya

Nukilan terindah buat dirimu si Penjiwa

Farah Zafirah

Uncategorized

Aku Cuba.

Aku cuba.
Dan aku akan terus mencuba.

Telah ditimpa kepadaku,
Kejatuhan, kegagalan dan kekecewaan

Yang telah menjadikanku goyah
Yang telah menjadikanku lemah
Yang telah menjadikanku pasrah

Seringkali,
Satu persoalan timbul di benak fikiranku,
Adakah semua percubaan ku ini,
Bakal menjadi satu percubaan yang sia-sia?

Aku tidak pasti,
Dan aku tidak yakin.

Namun,
Ku sedar ini adalah satu perlawanan,
Perlawanan antara diriku,
Menentang gejolak jiwaku.

Walau seribu kali percubaan sekalipon,
Akan ku yakinkan diri ini,
Akan ku gagahkan diri ini,
Untuk terus mencuba.

Jika aku lambat, maafkanlah diriku.

Kerna disaat aku cuba untuk bangkit,
Kadangkala aku terjatuh semula.

Tetapi ketahuilah,
Bahawasanya aku sedang mencuba,
Dengan sedaya upaya nya,

Untuk menjadi,
Seorang insan yang lebih baik,
Seorang insan yang lebih berguna,
Pada masa yang akan datang.

Sebagai tanda sokongan,
Dan sebagai tanda penghargaan,
Doakan lah aku.

Kerna aku,
Akan terus mencuba.

اَللَّهُمَّ اَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

(Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu).”

Karya: Shahir Azlan

Uncategorized

Rezeki

Rezeki-dan-Sandal_dodizulkifli.com_.jpg“Allah. Mengandung lagi?”

Tanpa sedar, terluah pertanyaan itu dari sang ibu anak lima. Mungkin tidak menjangkakan rezeki yang ‘terlalu cepat’ kerana anak ke limanya masih kecil, tidak sampai setahun lagi.

Namun, rezeki tetap rezeki. Kehidupan sebagai ibu dan wanita mengandung ditempuh seperti biasa. Sehinggalah pada saat melahirkan, komplikasi berlaku. Tumpah darah dan terpaksa dimasukkan ke wad lebih awal daripada due nya.

Alhamdulillah, bayi selamat dilahirkan secara pembedahan. Namun, tanpa si ibu sedar, dia koma selama tiga hari. Sedar sahaja daripada koma, dalam mamainya doktor memaklumkan padanya apa yang berlaku dan disampaikan kepadanya bahawa rahimnya telah pun dibuang.

Allah!

Menderu laju darah ke kepala. Seakan tidak dapat diterima kenyataan itu. Maka si ibu teringat keluhan kecil di awal kandungannya.

‘Mengandung lagi’

‘Mengandung lagi’

Terdiam si ibu. Benar, itu lah zuriat terakhir baginya. Mana mungkin dia boleh mengandung kembali tanpa rahim, satu nikmat yang Allah tarik sekelip mata.

Begitu lah, betapa Tuhan itu Maha Mendengar. Kata-kata kita, bagaimana kita lontarkannya. Nikmat yang Allah bagi pada kita, bagaimana cara kita menjemputnya.

Sering kita dengar bahawa kata-kata itu adalah doa. Maka, sentiasa berkata yang baik kerana kita tidak tahu bila dan bagaimana Allah angkat kata-kata kita untuk jadi doa yang akan diperkenankan pada masa dan ketika itu juga.

Nikmat itu untuk disyukuri. Rezeki itu perlu dibahagi.

Moga Allah mengampunkan segala dosa bila kita terlupa, dan sentiasa memandang kita dengan kasihNya.

“Ya Allah berkatilah rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka”

Ameen ya Robbal ‘alamin.

Kredit photo: Wahyu Putra

 

Uncategorized

Redha

Antara perkara yang perlu kita belajar daripada kehidupan ialah bagaimana untuk redha. Sejauh mana manusia berharap agar semua keinginannya dipenuhi, dia pada akhirnya perlu meletakkan semua harapannya kepada Allah SWT kerana Dia adalah sebaik-baik perancang. Cuma dalam hidup kita, kita diberi pilihan sama ada tetap tinggal dalam kesedihan, kekecewaan ataupun kita bina semula kebahagiaan dan kegembiraan. Kitalah yang menentukan pilihan kita dan bukannya orang lain.

Kita mungkin pernah mengeluh kerana tidak dapat apa yang kita mahu. Kita sering merungut dan menyalahkan. Kita mengejar perkara yang tidak pasti dalam hidup dan akhirnya, kita sedar bahawa kita tidak mempunyai upaya selain bergantung kepada Pencipta dengan doa dan usaha.

Adakah kita selama ini tidak bersyukur dengan apa yang kita pernah ada, lantas Allah SWT tarik semula nikmat itu? Semoga Allah mengampuni kita.

Pandanglah sekeliling kita dan nikmatilah kebahagiaan kita sendiri dengan apa yang kita miliki, bukan dengan berduka disebabkan perkara yang kita tidak mampu punyai.

Setiap peristiwa mengajar kita tentang betapa Allah SWT selalu ada dengan kita.

Ada sesuatu yang menarik perhatian saya, sepanjang menjalani pengalaman praktikum di salah sebuah syarikat penerbitan. Pada suatu hari, saya menggalas batang mop berserta timba ke tandas. Tiba-tiba, seorang tukang cuci wanita memanggil saya, ketika itu dia sedang mengemop lantai.

“ehh, adik nak ambil air ke? Kenapa tak lalu sini saja.” tanya mak cik itu dengan ramah.

“ya, tapi kan mak cik dah mop lantai, nanti kotor,” balas saya dengan perasaan hormat.

“tidak apa-apa, lalu saja di sini. Pergi tandas depan ni dekat sikit”

Saya berjalan mencari tandas (yang saya fikir tandas wanita). Saya kehairanan kerana tandas di situ adalah tandas lelaki.

“mak cik, tandas lelaki ni kah?’

“ ya, masuklah tidak apa mak cik kan ada”

Ungkapan terakhir itu sebenarnya mengambil ruang dalam hati yang paling dalam. Perkataan ada itu seolah-olah terasa diri ini dilindungi. Terasa disayangi.

Bukankah Allah SWT memberi jaminan kepada manusia bahawa dalam kesusahan mahupun kesenangan, Dia akan ada. Tetap ada. Cuma kita yang kadang-kadang lupa. Hanya apabila Allah hadirkan kepayahan dengan itulah kita akan dekat dengan-Nya. Hati saya terus tersentap dengan ayat al-Quran, di mana Allah SWT telah memberi satu kesedaran kepada Nabi Muhammad dalam Surah al-Dhuha, ayat 3:

Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula membencimu.

Benarlah, manusia akan pergi dalam hidup kita walau seberapa besar kita sayangkan mereka. Cuma, Allah SWT sahajalah yang selalu ada saat kita semua leka dengan dunia. Jadi, Allah SWT uji kita dengan kesedihan supaya dengan itu, kita akan kembali kepada-Nya. Dan mengajar kita apa-apa yang kita tidak tahu selama ini.

 

Nor Shafikah Abdullah, Harmoni Pena.

Uncategorized

Kerana ini jalanku

“Kakak kakak, jomlah kita pegi main taman.” minta si adik yang paling bongsu.

Seperti biasa, aku sentiasa mencari alasan untuk tidak pergi ke taman.

“Kakak nak kena masak makan malam la dik” ujar aku pendek.

Terduduk diam si adik itu di tepi pintu. Tiba-tiba, datang lagi seorang adik yang minta perkara yang sama.

 Jam di dinding sudah pukul 6:15 petang.

“Ada satu jam lagi ni sebelum maghrib” bisik hati kecil ku.

“Kakak janganlah malas. Jomlah teman kitorang pegi taman. Ummi abah tak bagi pergi kalau takde orang teman”

Datang dua orang lagi memujuk aku. Terus keempat-empat adikku merengek serentak menyebabkan rumah itu sangat riuh walaupun empat orang je. Tanpa fikir panjang, aku suruh mereka bersiap untuk pergi ke taman.

“Hoooray!” Mereka bersorak gembira sebaik sahaja mendengar arahanku.

Sambil melihat mereka bermain di taman permainan di depan rumah, aku dapat melihat wajah gembira adik-adikku yang jelas senyum di wajah dan mata masing-masing.

“Iya budak biasalah, main je tahu!”

Tapi mereka bukanlah kanak-kanak biasa, mereka luar biasa!

Ummi abah  sedang outstation di sebuah Tadika di Johor. Setiap hujung minggu mereka pasti akan ke sana. Jika aku tak cuti, biasanya adik-adik ni akan ikut sama. Tapi perbelanjaan ke sana sangat tinggi. Yelah, duit makan, duit hotel, duit minyak kereta lagi. Bukan dekat Johor dengan Perak tu!

Adik-adikku tidak asing lagi dengan kerja-kerja ummi abah. Bahkan mereka kenal setiap orang yang ummi abah jumpa setiap kali mesyuarat. Kalau ummi abah tidur jam 3 pagi, mereka pun akan ikut tidur jam 3 pagi. Tapi ummi abah dah keluar semula lepas subuh, diorang tidur lagi hahaha

Kadang-kadang aku fikir, adik-adik aku ni sangat peramah dan riuh orangnya. Kalah kakak mereka ni. Tapi satu semangat yang ada pada kanak-kanak inilah yang menjadi salah satu support system untuk ummi abah terus kuat bekerja untuk ummah.

Cakap tentang kerja ummi abah, abah merupakan seorang pensyarah di salah satu universiti swasta di Perak. Ummi pula membuka sebuah tadika merangkap guru besar di salah satu tadika di Johor. Rumah kami secara amnya terletak di Perak. Kami sekeluarga menetap di Perak sebab abah bertugas disana. Tapi setiap kali hujung minggu, kami akan balik Johor supaya ummi dapat tengok tadikanya dan abah akan jalankan kerja untuk masyarakat disana.

Pergerakan kami menjadikan adik-adik yang sedang membesar mudah untuk adapt dengan suasana baru dan menjadi peramah dengan siapa juga yang mereka jumpa

Pernah beberapa bulan sebelum ini, abah buat retreat family kami anak-beranak. Abah kumpulkan semua anak-anaknya. Baik yang di utara mahupon yang di KL. Walaupon aku anak sulung, tapi sebahagian adik-adik aku sudah masuk asrama dan belajar hidup sendiri. Susah jugak nak bagi semua ada.

Sebelum kami pindah ke Perak, adik-adik semua sekolah dekat dengan rumah. Ummi dan abah pun dah ada gaji yang stabil untuk menyara kami sekeluarga.

Melihat kepada keadaan ekonomi sewaktu itu, ummi dan abah buat keputusan untuk berpindah ke tempat ummi nak buka tadika. Tapi tak lama lepas ummi buka tadika, abah pula dapat tawaran kerja di Perak.

Bukan mudah buat keluarga besar kami membuat keputusan untuk berpindah.

Akhirnya, kami sekeluarga berpindah secara berperingkat.

Berbalik kepada retreat family kami tadi, abah bawa kami menyantuni masyarakat di sebuah kampung di Johor. Abah dah siap belikan 10 beg yang berisi barang keperluan. Contohnya, beras, minyak masak, tepung, gula dan biskut.

Dalam retreat kali ini, abah nak ajar anak-anaknya untuk mendekati masyarakat yang kurang berkemampuan.

Banyak yang kami dapat antaranya seperti membuat kenalan baru, membantu masyarakat kampung bergotong royong dan mengenali budaya di kampung itu.

Pada awalnya, kami adik beradik kurang faham apa tujuan abah dan ummi buat semua ini.

Setelah selesai berkampung di sana, abah jelaskan tujuan mengadakan aktiviti seperti ini.

“Abah nak semua merasa apa yang orang lain rasa”

“Ada atuk nenek yang kita jumpa tadi, mereka rindu cucu mereka yang dah lama tak balik kampung”

“Abah nak kita jalinkan ukhuwah sampai mereka rasa kita ini seperti keluarga mereka yang faham keadaan mereka”

“Dalam Islam, dakwah itu bukanlah semata ajak orang pergi masjid. Bahkan dengan mendekati kehidupan sebenar masyarakat itulah dakwah yang dituntut.” Dakwah yang mengajak manusia kembali kepada Allah.

“Jadi hubungan ukhuwah yang kita dah jalinkan disini, akan kita jaga sama-sama sehingga ke akhir hayat semampu yang kita boleh!”

Akhirnya, aku sedar bahawa hidup ini bukanlah semata-mata kita mahu ahli keluarga kita ikut bersama ke syurga, tapi setiap saudara kita  masuk syurga bersama-sama.

Setiap orang ada caranya sendiri. Dan ummi abah dah memilih untuk menyantuni masyarakat dan mengajak mereka kepada Islam walaupun terpaksa berkorban tenaga, masa dan wang yang banyak.

Kerana harta kita terletak pada berapa banyak yang telah kita berikan kepada orang lain.

Dan tidak semua orang sanggup keluar dari zon selesa masing-masing. Zon selesa itu termasuklah punya kereta  besar, gaji besar.

Marilah kita sama-sama menjadi seseorang yang bermanfaat buat orang lain mengikut cara yang tersendiri. 🙂

Sekian.

Yusuf 108

Terjemahan: katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku; aku dan dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata; (dan aku menegaskan:) maha suci Allah (daripada segala i’tiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” [Surah Yusuf, ayat ke-108]

Hasna’ Izzati Faizul Amri; Harmoni Pena.